Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia memulakan dagangan pada pagi urus niaga Isnin lebih tinggi, menyaksikan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.31 peratus kepada 1,485.14 mata berikutan minat belian baharu terutamanya membabitkan saham pengangkutan dan logistik, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FBM KLCI memperoleh 4.59 mata berbanding 1,480.55 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lepas.

Pasaran pagi ini dibuka 4.01 mata lebih kukuh pada 1,484.56.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 229 berbalas 97, manakala 220 kaunter tidak berubah, 1,664 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 176.96 juta unit bernilai RM66.35 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street turut melonjak pada Jumaat minggu lepas apabila data ekonomi terkini mencadangkan inflasi di Amerika Syarikat kemungkinan mereda, justeru mendorong kepada jangkaan kenaikan kadar yang kurang agresif daripada Rizab Persekutuan pada masa hadapan.

“Purata Perindustrian Dow Jones meningkat dengan ketara sebanyak 700 mata manakala Nasdaq menambah 264 mata dengan kadar hasil 10 tahun AS susut ke paras 3.56 peratus,” katanya kepada Bernama.

Sebaliknya di Hong Kong pula, Indeks Hang Seng ditutup 60 mata lebih rendah tetapi masih mengehadkan prestasi cemerlang minggu ini dengan keyakinan disokong oleh langkah mesra ekonomi daripada kerajaan China.

Di pasaran tempatan, Thong mengunjurkan pengumpulan saham akan berterusan dengan indeks FBM KLCI dilihat bergerak dalam julat antara 1,480 – 1,495 hari ini.

“Walaupun kami menjangkakan kegiatan pembelian yang meluas, kami beranggapan tumpuan minat belian masih pada sektor pembinaan dan berkaitan pelancongan hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, MISC Bhd naik tujuh sen menjadi RM7.28, IOI Corporation Bhd dan Genting Malaysia Bhd, masing-masing menambah lima sen setiap satu kepada RM3.96 dan RM2.81, PPB Group Bhd meningkat dua sen untuk mencatatkan harga RM17.70 manakala Sime Darby Plantation Bhd menokok  tiga sen kepada RM4.40.

Bagi saham aktif, CSH Alliance Bhd naik setengah sen kepada lima sen, Nylex (M) Bhd peroleh 3.5 sen kepada 41 sen, DS Sigma Holdings mengembang dua sen menjadi 64 sen, manakala KNM Group tidak berubah pada 4.5 sen dan Cypark Resources susut 1.5 sen kepada 63.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 40.90 mata kepada 10,673.23, Indeks FBMT 100 mengukuh sebanyak 39.06 mata menjadi 10,381.48, dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 52.02 mata kepada 10,887.89.

Indeks FBM 70 lebih tinggi sebanyak 79.55 mata kepada 13,114.26 dan Indeks ACE FBM meningkat 31.19 mata kepada 5,409.09.

Mengikut sektor, Pengangkutan dan Logistik memperoleh 18.08 mata untuk mencatatkan paras 940.25, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 27.93 mata kepada 16,443.41 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.64 mata kepada 182.31.

Indeks Perladangan pula meraih 40.02 mata kepada 6,930.19 dan Indeks Tenaga memperoleh 4.08 mata kepada 781.67. – BERNAMA