Mohd Shafie Apdal.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hajiji Nor didakwa tidak boleh membentuk kerajaan negeri kerana beliau kini tidak berparti.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, biar pun Hajiji menegaskan dirinya mempunyai sokongan sebagai ketua menteri namun pergolakan politik di negeri itu bukan lagi berpandukan kepada pihak mana yang mempunyai majoriti.

“Kalau ikut Perlembagaan Negeri Sabah, mana ada kerajaan boleh dibentuk, ketua menterinya tidak mempunyai parti. Apa parti dia?

“Dalam Perlembagaan Negeri jelas menyebut parti politik yang menang majoriti iaitu parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16. GRS tidak bertanding, yang bertanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Jadi apabila Perikatan Nasional (PN) keluar. PN/Bersatu hilang kelayakan sebab mana ada ketua parti (GRS) bertanding dalam PRN-16.

“Kalau dia ada nombor (sokongan), kita pun ada nombor jadi, tak payah cerita pasal nombor. Kalau kira SD, semua pun ada SD,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia Online hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko di kediamannya.

Beliau berkata, jumlah 44 kerusi yang menyokong Hajiji adalah daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Tak payah cerita pasal nombor (sokongan), mana ada kerajaan boleh dibentuk jika ketua menterinya tidak mempunyai parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Hajiji dilaporkan  berkumpul di kediamannya di Sri Gaya termasuk ADUN Pakatan Harapan (PH) dan UMNO, lapor FMT. – MalaysiaGazette