Nga Kor Ming.-Foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memfokuskan tujuh bidang baharu untuk dilaksanakan pada tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, bidang baharu itu meliputi pembangunan dan langkah memperkasa peranan Kerajaan Tempatan, membangun potensi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjana sumber pendapatan tambahan negara dan perancangan perumahan lebih komprehensif dan berdaya saing.

Selain itu katanya, kementerian berkenaan juga memfokuskan pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum, pengurusan sisa pepejal bersepadu lebih efektif dan efisien bagi menghasilkan pelaksanaan ke arah ekonomi kitaran.

“Turut difokuskan ialah memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu dan memperkukuh kesiapsagaan kebombaan dan penyelamat yang sejahtera.

“Tujuh bidang fokus baharu ini adalah antara misi utama kementerian bagi menyampaikan khidmat terbaik dan menjadi kayu pengukur kepada kecekapan Kerajaan Tempatan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri KPKT 2023, di kementeriannya di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib.

Dalam pada itu Kor Ming berkata, KPKT akan memastikan perkhidmatan asas PBT seperti jalan raya rata dan tidak berlubang, pemasangan lampu yang terang, longkang yang bersih dan tidak tersumbat serta tandas awam bertaraf BMW (bersih, menawan dan wangi) dijadikan misi utama kementerian dalam usaha menyediakan khidmat terbaik kepada rakyat.

Katanya,walaupun empat perkara asas itu kelihatan ringkas, namun ia sentiasa dekat di hati rakyat dan penyelesaian kepada isu berkenaan menjadi pengukur kepada kecekapan 155 PBT di seluruh negara.

“Sebulan berkhidmat sebagai menteri, saya telah melakukan beberapa lawatan secara spontan dan tinjauan bagi melihat sendiri penyelenggaraan PBT khususnya tahap kebersihan tandas, pencahayaan kawasan awam, jalan raya serta longkang sentiasa berfungsi dengan baik mengelak berlaku banjir,” katanya.

Selain itu, Kor Ming turut menggesa PBT melaksanakan lapan tindakan segera iaitu meningkatkan tahap kebersihan 18,000 tandas awam seluruh negara, menubuhkan Special Task Force bagi menyelesaikan 550 projek perumahan sakit, lawatan ke kawasan tumpuan pelancong asing di Kuala Lumpur dan mengarahkan syarikat konsesi untuk melakukan pemantauan masalah sampah secara 24 jam.

Turut disenaraikan adalah menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencari penyelesaian terhadap 24 ‘hotspot’ banjir kilat yang sering berlaku di ibu kota serta melakukan tindak balas pantas ketika bencana.

Perlu dilakukan juga kata beliau, adalah gerak kerja segera dalam menangani situasi banjir ketika Monsun Timur Laut, menghargai perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), mengisi semua jawatan 39 Presiden Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dan Tribunal Pengurusan Strata serta bersama DBKL dalam mengenal pasti 260 projek pembersihan dan pengindahan bernilai RM100 juta. – MalaysiaGazette