Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan notis pengalihan kenderaan kepada pemilik kereta buruk di belakang lorong eumah pemilik di daerah ini

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan notis pengalihan kenderaan kepada pemilik kereta buruk di dua kawasan dalam daerah ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, notis tersebut dikeluarkan oleh anggota penguatkuasa MBK hasil daripada pemantauan di kawasan perumahan Sungai Karang Darat dan Taman Sri Mahkota Permai.

Selain itu pemantauan berterusan kereta buruk yang tersadai akan dilakukan di lokasi kawasan perumahan atau lorong-lorong yang menempatkan kenderaan berkenaan.

“Kegagalan untuk berbuat demikian boleh disabitkan di bawah seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” kata Norkamawati.

“Sepanjang 1haribulan hingga semalam (Ahad), sebanyak lapan kenderaan diberikan notis.

“Daripada jumlah itu sebanyak enam kenderaan akan disita manakala bakinya dua lagi sudah ditebus pemilik dengan bayaran RM300,” katanya hari ini.

Dalam perkembangan lain MBK juga merekodkan 52 kompaun membabitkan kutipan berjumlah RM52,000 terhadap syarikat pengangkutan kerana mengotorkan jalan awam di kawasan Perindustrian Gebeng.

Menurutnya kompaun itu dikeluarkan bermula 27 Disember 2022 sehingga 5 Januari 2022 dilakukan selaras dengan tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 47 Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974. – MalaysiaGazette