KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) berlangsung selama empat hari bermula esok.
Seramai 5,514 perwakilan UMNO dari seluruh negara akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sehingga 14 Januari ini.
PAU 2022 dimulakan dengan perasmian perhimpunan agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan pada jam 9.30 malam di Dewan Merdeka.
Kehadiran semua sayap dijangkakan seramai 2,757 perwakilan melibatkan 909 Wanita, 925 (Pemuda) dan 923 (Puteri).
PAU 2022 diadakan selang sembilan bulan dari PAU 2021 yang berlangsung pada 16 hingga 19 Mac lalu, selepas dua hari Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022.
Antara aktiviti PAU 2022 ialah hari kedua, Khamis 12 Januari, tiga sayap parti bersidang bermula jam 8 pagi iaitu Wanita di Dewan Tun Razak, Pemuda di Dewan Merdeka dan Puteri di Dewan Tun Dr. Ismail dan Dewan Tun Hussein Onn.
Hari ketiga, Jumaat 13 Januari pula Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi bersama barisan kepimpinan parti di acara menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka pada jam 8 pagi.
Selepas itu, sesi PAU 2022 bermula dengan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan membentangkan peringatan persidangan, penyata tahunan 2021/2022 dan Ucapan Dasar Presiden.
Perwakilan menunaikan solat Jumaat di Dewan Tun Razak 3, sebelum majlis disambung dengan membentang dan membahaskan usul.
Hari akhir perhimpunan pada Sabtu 14 Januari itu diisi dengan perbahasan usul hingga jam 5 petang untuk Presiden menyampaikan ucapan penangguhan.
Selain 2,757 perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, seramai 2,757 dari 199 Bahagian turut hadir sebagai perwakilan.
PAU kali ini juga menyaksikan 68 agensi media iaitu 50 tempatan dan 18 antarabangsa turut terlibat membuat laporan sama ada menerusi cetak mahupun elektronik.
Semua pengamal media ditempatkan di Laman Media, Bilik Mawar. – MalaysiaGazette