Kapal kargo MV Dai Cat 06 yang membawa muatan besi dan lima kru, dilaporkan hilang di perairan Indonesia, sejak 9 Januari 2023.

JOHOR BAHRU – Sebuah kapal kargo MV Dai Cat 06 yang didaftarkan di Malaysia, dipercayai bawa muatan besi dan lima kru dilaporkan hilang di perairan Indonesia, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menerusi Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang semalam.

Maklumat diterima susulan satu laporan polis telah dibuat pada jam 12.11 tengah hari oleh ejen kapal terbabit.

Ejen tersebut mendakwa kapal kargo yang dikendalikan tiga kru warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun itu telah keluar dari jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Disember lalu dan sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember 2022.

“Lokasi terakhir kapal ini dikesan melalui sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lepas di perairan Indonesia, 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

“Namun maklumat terkini yang diperolehi pada 10.42 malam semalam mendapati satu isyarat Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) telah dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

“Isyarat kecemasan ini dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia negeri Johor di sini, hari ini.

MRCC Putrajaya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia supaya mengesan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205.

“Kita tidak mahu buat andaian kehilangan kapal ini sebelum mendapat maklumat tepat kerana di laut macam-macam boleh terjadi.

“Pihak MRSC Johor Bahru memohon bantuan komuniti maritim sekiranya mempunyai maklumat mengenai kehilangan kapal ini.

Mereka diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9401 sekiranya mempunyai maklumat. – MalaysiaGazette