Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan hadir pada Majlis Ramah Mesra & Minum Petang bersama Exco Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memberikan tumpuan kepada kadar kemiskinan bandar yang dilihat semakin parah untuk diatasi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar kemiskinan tegar di bandar kini sudah menyamai kawasan desa.

Beliau berkata, kumpulan yang berada di bawah garis pendapatan isi rumah RM2,208 dikategorikan sebagai mereka yang berada di bawah garis kemiskinan.

“Secara relatifnya kemiskinan tidak hanya boleh dilihat di kawasan desa, ia harus dilihat di pinggir bandar dan yang lebih parah lagi adalah kemiskinan dalam bandar.

“Perkara ini menjadi tumpuan kepada KKWD bersama kementerian lain dan Mara mempunyai peranan antara lain untuk menawarkan reskilling atau upskilling kumpulan sasar terutama penduduk dalam bandar atau mereka berasal dari luar bandar tapi tinggal di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sembang Santai KKWD Bersama Media di Menara Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid meluangkan masa hampir dua jam untuk bertemu dan beramah mesra dengan pengamal media.

Beliau berkata, jalinan kerjasama antara kerajaan dan media perlu dipertingkatkan bagi melebar luaskan aktiviti kementerian.

“Saya terpukul kerana selama lebih empat tahun sembilan bulan tidak dapat bertemu dengan rakan media.

“Biarpun mengenali kebanyakan pengamal media, namun terputus hubungan kerana ketika itu apa saja kenyataan dan ucapan dikeluarkan tidak lagi mempunyai nilai berita,” ujar beliau.

Tambahnya, beliau sangat menghargai media yang memainkan peranan penting dalam menyalur maklumat kepada masyarakat. – MalaysiaGazette