lelaki maut ditetak dalam pergaduhan antara dua kumpulan remaja di Kapar Klang awal pagi Selasa dan suspek sedang diburu polis. Ihsan Polis IPD Klang Utara

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut hari ini akibat ditetak dalam pergaduhan yang membabitkan antara dua kumpulan remaja di Taman Intan di Kapar, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, dalam insiden jam 2.04 pagi itu mangsa yang berusia 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Polis telah menerima panggilan di bilik gerakan dari orang awam yang melaporkan mengenai pergaduhan tersebut sebelum sepasukan anggota polis dari Bahagian Cegah Jenayah Balai Polis Kapar telah bergegas ke lokasi kejadian itu.

“Hasil pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati seorang lelaki berumur 30-an terbaring atas jalan dalam keadaan berlumuran darah sebelum pasukan pembantu perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) yang turut bergegas ke lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan di lokasi mendapati berlaku pergaduhan melibatkan dua kumpulan remaja dengan mangsa yang kemudian dipercayai telah ditetak menggunakan senjata tajam.

Menurut Vijaya Rao, polis telah mengenal pasti dua individu berumur lingkungan 20-an dipercayai terlibat secara langsung dalam jenayah itu dan usaha mengesan suspek giat dilakukan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette