Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah) melihat barang kerpeluan asas ketika Majlis Pelancaran Konvoi Sumbangan Bantuan Banjir ke Kelantan Dan Terengganu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 10 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan akan meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyelaraskan bantuan banjir berjumlah RM900,000 yang diperutukkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) kepada Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi memastikan setiap bantuan itu tidak disalahgunakan dan hanya dimanfaatkan mangsa banjir yang terjejas.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan pihak terlibat itu dan pimpinan setempat, agensi kerajaan terlibat Nadma khususnya yang menyelaraskan bantuan.

“Kadang-kala kalau bantuan itu setompok, ia tak adil kepada pihak lain yang kurang menerima bantuan.

“Nadma boleh menyelaraskan bantuan ini agar diberikan lebih adil kepada penerima di kedua-dua negeri ini,” katanya kepada pemberita di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan Konvoi Sumbangan Bantuan Banjir ke Kelantan dan Terengganu, pagi tadi.

Hadir sama Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Terdahulu PR1MA memperuntukkan sejumlah RM900,000 untuk disalurkan kepada mangsa banjir di negeri Pantai Timur termasuk Kelantan dan Terengganu.

Sumbangan itu berbentuk barang keperluan dan kelengkapan pembersihan pasca banjir merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PR1MA dalam membantu rakyat yang timpa musibah itu.

Sejumlah 7,000 barang keperluan termasuk 1,000 barang masing-masing merupakan kit permulaan makanan, kit banjir, pek makanan, tilam bersaiz Queen, kain pelekat, telekung, set beg sekolah akan dihantar ke Kelantan dan Terengganu bermula hari ini.

Turut disalurkan kelengkapan untuk pembersihan termasuk 800 barang kelengkapan masing-masing ialah jet air, mop lantai, penyapu plastik, penolak air, paip getah, baldi, sarung getah, kasut getah dan cangkul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast