Pemandu warga asing maut tersepit selepas treler yang dipandu merempuh satu lagi treler yang sedang menunggu membayar tol di Subang tengah malam tadi. Ihsan IPD PJ

PETALING JAYA – Seorang lelaki maut selepas treler dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh di belakang sebuah lagi lori lain yang sedang berhenti untuk membayar tol.

Nahas itu berlaku di Plaza Tol Subang, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kemalangan itu pada jam 12.37 tengah malam tadi.

“Akibat rempuhan kuat itu, pemandu treler berkenaan iaitu seorang lelaki warga India berusia 31 tahun telah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kemalangan itu,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhruddin lagi, polis telah memulakan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kemalangan dan kematian pemandu lori itu.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu membantu siasatan polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Hafeez Faezal A Aziz di talian 01132311232. – MalaysiaGazette