Situasi di kawasan kemalangan di KM 307.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Gopeng, malam tadi.

IPOH – Polis menahan pemandu treler yang merempuh sembilan kenderaan dalam satu kemalangan di KM 307.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Gopeng, malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian kira-kira 10.40 malam itu, lelaki berusia 36 tahun dari Bukit Mertajam Pulau Pinang tersebut dipercayai gagal menekan brek ketika berada di selekoh hingga merempuh kenderaan di hadapannya.

“Saringan air kencing terhadap pemandu treler juga mendapati negatif dadah dan alkohol. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, ketika kejadian cuaca baik namun keadaan jalan gelap kerana tidak berlampu serta melibatkan jalan dua lorong dan sedikit selekoh.

Beliau berkata kenderaan yang dirempuh membabitkan dua treler dan tujuh buah kereta.

Awal pagi tadi, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dibantu anggota dari Tapah memaklumkan lapan cedera dan diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala tujuh lagi tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA