Keadaan banjir di Pakistan. Foto UNDP

GENEVA – Penderma dari seluruh dunia berjanji meyumbang lebih AS$9 bilion untuk membantu Pakistan pulih daripada banjir yang melanda pada tahun lepas.

Jumlah itu lebih separuh daripada anggaran AS$16.3 bilion yang diperlukan Pakistan untuk pulih daripada bencana berkenaan.

Janji itu dibuat ketika Pakistan meneruskan rundingan mengenai ansuran jaminan antarabangsa yang akan datang.

Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Hina Rabbani Khar berkata, janji itu memberi harapan yang besar buat negara tersebut.

“Saya rasa mesej daripada dunia adalah jelas iaitu dunia membantu negara-negara yang berdepan dengan malapetaka,” katanya  pada persidangan iklim yang diadakan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa pelaburan besar untuk membantu Pakistan pulih daripada ‘bencana iklim skala monumental’,” katanya.

Bank Pembangunan Islam, Bank Dunia dan Arab Saudi adalah antara penderma terbesar.

Sementara itu, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, China dan Perancis turut menyumbang.

Banjir dahsyat yang melanda negara itu mengorbankan  sekurang-kurangnya 1,700 orang, lapan juta lagi kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan infrasturuktur. – Agensi