rekalibrasi pati
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media bersama Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar selepas Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing di Jabatan Perdana Menteri Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 10 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing hari ini bersetuju dengan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 2.0 khusus untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga Disember 2023.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini dan diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media bersama Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Saifuddin berkata, program yang dilaksanakan sebelum ini telah berakhir pada 31 Disember lalu namun mesyuarat tersebut bersetuju untuk melanjutkannya kerana ia mampu menyediakan tenaga kerja daripada pekerja asing sedia ada dalam negara ini.

“Kita buat saluran ini, mereka tampil dan kemudian mereka terus buat bayaran dan kemudian mereka dibenarkan untuk bekerja. Ini akan mempercepatkan lagi.

“Sisi yang kedua adalah kompaun yang kita kenakan kepada mereka kerana berada di sini kerana dokumentasi tidak sempurna, rekalibrasi tenaga kerja untuk sepanjang tahun lepas menjana lebih RM700 juta kepada hasil kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 10 JANUARI 2023.

Selain itu, beliau menambah, mesyuarat berkenaan turut bersetuju untuk mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Saifuddin memberitahu, pelan khas tersebut didorong oleh unjuran keperluan tenaga kerja asing yang diperlukan oleh sektor-sektor penggajian pekerja asing
di negara ini.

“Melalui pelan ini, majikan akan dibenar untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kepada kemampuan dan keperluan sebenar majikan tanpa perlu melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota,” jelasnya.

Beliau juga mengumumkan, kerajaan bersedia memberi kelulusan bersyarat dalam tempoh tiga hari terhadap permohonan majikan secara terus atau melalui agensi pekerjaan di mana kelulusan segera itu hendaklah disusuli dengan proses naziran bagi memastikan peruntukan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 dipatuhi.

“Maklumat terperinci tentang Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing akan dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam masa terdekat,” katanya.

Saifuddin menegaskan, kelonggaran yang diumumkan itu tidak menggadai pertimbangan kerajaan dalam membuat dasar tersebut dari aspek keselamatan dan kedaulatan undang-undang.

Beliau berharap rakyat tidak bimbang mengenai kemungkinan berlaku lambakan pekerja asing ekoran kelonggaran tersebut kerana kebanyakan pengambilan adalah dalam kategori pekerjaan yang kotor, bahaya dan sukar (3D) yang kurang diminati pekerja tempatan.

Saifuddin berkata, mesyuarat turut bersetuju bahawa siri lawatan kerja delegasi Malaysia yang melibatkan menteri-menteri dan agensi-agensi kawal selia berkaitan akan dilaksanakan ke negara-negara sumber terpilih.

“Tujuannya supaya negara-negara sumber tersebut faham bahawa hasrat kita untuk memudahkan. Kita mohon mereka turut memudahkan berdasarkan kepada sistem dan polisi pekerja di negara mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Sivakumar berkata, kelonggaran tersebut adalah untuk permohonan baharu dan pihaknya akan berusaha untuk memenuhi piagam kelulusan dalam tempoh tiga hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast