MARAN – Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib tetap memperjuang pelaksanaan Hospital Daerah Maran yang berdepan penangguhan berikutan pergolakan politik sejak 2018.
Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, perkara tersebut akan dikemukakan pada sidang Parlimen yang akan berlangsung pada 13 Februari ini.
“Saya akan kemukakan kepada Perdana Menteri sekarang. Saya akan kemuka balik apa yang telah saya usulkan dahulu untuk melaksanakan pembinaan Hospital ini.
“Kita akan terus perjuangkan hospital itu. Pada saya tiada masalah. Sebab semuanya telah diputuskan. Tapak telah pun selesai,” katanya selepas Program Ziarah Kasih di Kampung Paya Ladang, Chenor, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pembinaan hospital dengan peruntukan sebanyak RM350 juta itu telah mendapat kelulusan pada pembentangan Bajet 2023 pada November lalu.
Namun disebabkan kerajaan baru terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bajet baharu akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebab itu saya nak kemukakan lebih awal supaya peruntukan RM350 juta untuk Hospital Maran tidak akan dikeluarkan.
“Paling tidak pun sebahagian peruntukan awal, sebab kerja-kerja tanah telah pun dibuat,” katanya.
Hospital Daerah Maran berkapasiti 76 katil itu akan dibina di atas tanah seluas 20 hektar. – MalaysiaGazette