Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima mengadap Mohd Reza Mohd Sany dan Abdul Rahman Ayob di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap aset-aset keselamatan khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia yang telah berusia dan perlu ditukar, demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga.

Kebimbangan baginda itu dimaklumkan ketika pertemuan dengan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, minggu lalu.

Mohd Reza mengadap baginda sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Selangor Royal Office berkata, Mohd Reza dilantik sebagai PTL pada 30 November 2018.

Dalam pertemuan itu, Mohd Reza turut memperkenalkan Timbalan Panglima Tentera Laut, YBhg. Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai Panglima Tentera Laut Ke-18.

Majlis serah tugas akan diadakan pada 23 Januari ini. – MalaysiaGazette