Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN – Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan seorang suspek pengedar dadah yang cuba meloloskan diri ketika pemeriksaan polis berhampiran Tol Kuantan kira-kira jam 2.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek memandu kereta jenis Toyota Yaris yang bertindak mengundur keretanya telah melanggar kenderaan polis jenis Pajero yang berada di belakangnya.

“Suspek kemudian memecut menghala ke arah anggota polis yang berada di hadapan tepi jalan hadapan tersebut.

“Serentak itu, polis  melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bahagian belakang sebelah kiri tetapi suspek terus memanadu menghala ke arah Jalan Sungai Lembing dengan menggunakan laluan bertentangan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Polis berjaya menahan suspek dalam kenderaan yang dipandunya setelah berlaku pergelutan kerana suspek masih berusaha cuba melarikan diri.

Menurut Wan Zahari, hasil ujian air kencing ke atas suspek yang bekerja sebagai pemandu didapati positif metamfetamin dan mempunyai dua rekod berkaitan kes narkotik.

Hasil pemeriksaan kenderaan yang dinaiki suspek menjumpai beg kertas berisi sampul surat dan dua paket lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 101.64 gram yang dianggarkan bernilai RM5,600.

Kes masih dalam siasatan dan suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. – MalaysiaGazette