Seorang lelaki warga emas meminta sedekah pada pengguna jalan raya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 FEBRUARI 2019

SIFAT memberi adalah sifat terpuji yang digalakkan dalam Islam bahkan menjadi satu budaya yang amat dimuliakan dalam masyarakat kita. Tahukah kita, sebenarnya terdapat pelbagai jenis kategori pemberian dalam Islam. Umumnya, masyarakat di Malaysia seringkali terkeliru dengan konsep antara wakaf dan sedekah. Justeru, artikel ini akan memberikan pencerahan yang mendalam berkaitan konsep wakaf dan sedekah.

Wakaf dapat didefinisikan sebagai amalan menyerahkan harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk kegunaan umum masyarakat dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Manakala sedekah pula dapat difahami sebagai amalan menyerahkan apa-apa bentuk harta benda kepada golongan fakir, miskin, anak yatim atau orang yang berhajat dengan ikhlas kerana Allah SWT tanpa mengharapkan balasan.

Untuk pengetahuan anda, amalan wakaf ini telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Hal ini dapat dilihat apabila baginda telah membina masjid Quba’ di atas tanah yang diwakafkannya ketika penghijrahan baginda dan para sahabat ke Madinah. Amalan wakaf juga telah berkembang luas dan diteruskan oleh para sahabat serta tabiin yang telah banyak mewakafkan harta mereka untuk pembangunan syiar Islam pada ketika itu. Secara ringkasnya, masyarakat Arab pada zaman itu amat mempercayai bahawa amalan wakaf ini dapat membantu membangunkan syiar Islam sehingga ianya telah menjadi tradisi mereka mewakafkan 1/3 daripada harta mereka sebelum meninggal dunia.

Islam amat menggalakkan amalan wakaf dan sedekah kerana kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk memberi kebaikan kepada masyarakat. Namun, terdapat perbezaan diantara kedua-dua amalan tersebut. Untuk mewakafkan harta, seseorang haruslah melihat kepada syarat-syarat wakaf. Antaranya ialah harta yang diwakafkan hendaklah bersifat kekal. Ini bermaksud, harta tersebut tidak hilang atau rosak dengan mudah. Contohnya, tanah, bangunan dan peralatan yang tahan dan kekal lama. Selain itu, harta yang diwakafkan tidak boleh dijual beli, diwarisi, ditarik balik atau diwasiatkan kerana harta tersebut adalah milik Allah. Harta tersebut tidak boleh sesekali digunakan untuk kepentingan peribadi pewakaf atau keluarga pewakaf.

Menurut para fuqaha’, wakaf merupakan satu-satunya bentuk sedekah yang bersifat jariah yang bererti ganjaran pahala pewakaf akan mengalir dan berkekalan selagi harta yang diwakaf boleh diambil manfaatnya. Hal ini menjadikan wakaf sebagai medium terbaik yang dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk meraih ganjaran pahala yang berkekalan dari generasi ke generasi. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk berwakaf. Antaranya ialah, menyumbang kepada pembangunan masjid, pembekalan saliran air seperti air perigi dan air paip, penulisan mushaf untuk
tujuan pembacaan awam dan pembangunan fasiliti kesihatan seperti klinik dan hospital.

Sebaliknya, sedekah pula tidak mempunyai syarat-syarat tertentu. Walau bagaimanapun, Islam amat menggalakkan umatnya untuk bersedekah dengan barangan yang disenangi oleh penerima. Hal ini kerana Allah tidak menyukai hambanya untuk bersedekah dengan barangan yang tidak baik sejajar dengan konsep bersedekah yang mana ia merupakan satu ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah. Ia boleh dilakukan dalam apa jua bentuk harta seperti makanan, pakaian, barangan, wang dan harta yang kekal.

Tambahan pula, apabila seseorang ingin bersedekah, si pemberi sedekah itu haruslah memastikan barangan tersebut halal, bukanlah daripada sumber yang haram ataupun syubhah. Maka, bersedekahlah dengan ikhlas, dan jangan pula mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati si penerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan akan merosakkan pahala bersedekah. Secara umumnya wakaf terbahagi kepada dua jenis iaitu, Wakaf Ahli dan Wakaf Khairi. Wakaf Ahli dikenali sebagai wakaf keluarga yang manfaatnya dikhususkan kepada ahli keluarga yang ditentukan oleh pewakaf. Manakala, Wakaf Khairi ialah Wakaf Kebajikan dan terbahagi kepada wakaf Am dan Wakaf Khas.

Wakaf Am diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat umum umat islam mengikut hukum syarak seperti kemudahan atau pembangunan ekonomi umat islam menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan berasaskan hukum syarak. Bagi Wakaf Khas pula, ianya diertikan sebagai wakaf yang diwujudkan bagi tujuan manfaat tertentu umat islam mengikut hukum syarak seperti mewakafkan tanah untuk tujuan masjid, surau, sekolah agama, perkuburan islam dan lain-lain yang dikhususkan oleh pewakaf.

Dari definisi wakaf di atas, ianya jelas bahawa amalan soleh yang utama adalah apabila wakaf tersebut mempunyai kesinambungan manfaat, dan pahalanya pula akan berterusan selama mana harta wakaf itu masih dimanfaatkan. Antara model institusi wakaf yang paling berjaya dapat dilihat menerusi wakaf Al-Azhar, Mesir di mana ianya dikendalikan oleh sebuah kementerian khas di bawah Kementerian Wakaf. Wakaf Al-Azhar dipercayai mempunyai aset yang banyak sehingga ia mampu membiayai pelbagai program untuk pembangunan masyarakat Islam khususnya di Mesir seperti sekolah, hospital, universiti dan sebagainya.

Universiti Al-Azhar adalah satu institusi pendidikan Islam yang dibiayai sepenuhnya melalui sumber wakaf yang mempunyai puluhan ribu pelajar dari seluruh dunia. Di Malaysia pula, harta wakaf yang dibangunkan daripada pelbagai projek telah mendatangkan manfaat ekonomi kepada umat Islam secara langsung mahupun tidak langsung. Hal ini dapat dilihat daripada kutipan sewaan bangunan wakaf dan lain-lain projek wakaf akan diagihkan untuk kebajikan dan kepentingan umat Islam.

Di samping itu, wakaf juga berperanan sebagai penggerak kegiatan ekonomi dalam masyarakat melalui penyediaan pusat dan premis perniagaan. Dengan adanya pusat dan premis perniagaan yang dibangunkan hasil daripada dana wakaf atau di atas tanah wakaf, ianya berpotensi untuk meningkatkan kegiatan ekonomi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Usaha ini dapat dilihat daripada pembinaan kompleks dan bangunan perniagaan di atas tanah wakaf yang telah dilaksanakan di beberapa buah negeri di Malaysia. Sebagai contoh, pembelian lima unit premis wakaf berjumlah RM1.05 juta di Bandar Bukit Puchong menggunakan sumber daripada Dana Saham Wakaf Selangor telah memberi pulangan pendapatan kepada Majlis Agama Islam Selangor untuk dimasukkan ke dalam pendapatan hasil wakaf.

Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga telah membangunkan sebidang tanah wakaf yang terletak di Kuala Lumpur bagi pembinaan Menara MAIWP setinggi 34 tingkat. Ianya akan disewakan kepada Bank Islam Malaysia Berhad dan TH Technologies Sdn Bhd selama 25 tahun di mana sepanjang tempoh sewaan itu MAIWP akan mendapat pulangan sebanyak RM50 juta dan apabila tamat tempoh sewaan tersebut, MAIWP akan memperoleh semula Menara berkenaan di mana hartanah tersebut dianggarkan bernilai RM600 juta.

Antara usaha kerajaan untuk memperkasakan wakaf dalam masyarakat ialah pembentukan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM). Kedua-dua entiti ini bertanggungjawab untuk mengendalikan aktiviti wakaf di Malaysia, termasuklah membantu individu dan keluarga yang ingin membuat wakaf. Melalui YWM, yayasan ini telah membangunkan Sistem Wakaf Tunai Malaysia sebagai satu inisiatif untuk membantu individu dan keluarga yang ingin berwakaf tetapi tidak mempunyai harta benda seperti tanah atau bangunan.

Selain itu, kerajaan telah menyediakan pelbagai program dan kelas latihan yang bertujuan untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang wakaf kepada masyarakat. Kerajaan Malaysia juga telah mengambil pelbagai langkah lain untuk memperkasakan wakaf dalam masyarakat, seperti memperkenalkan skim pembiayaan wakaf dan menyediakan sokongan kewangan kepada projek-projek wakaf yang layak. Usaha-usaha ini bertujuan untuk membantu masyarakat Malaysia memahami pentingnya wakaf dan memperkasakan amal kebajikan ini dalam masyarakat.

Kesimpulannya, wakaf bukan sahaja satu ibadah yang mulia untuk mendekatkan diri kepada Allah, namun ia juga merupakan salah satu penyumbang untuk menggerakkan ekonomi negara dengan lebih dinamik dan progresif. Hal ini kerana harta wakaf mempunyai nilai yang tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Justeru, masyakat Malaysia amatlah digalakkan untuk berwakaf bagi membolehkan semua lapisan masyarakat dapat menikmati manfaatnya tanpa mengira agama dan bangsa.

Oleh:
1) Mohammad Hafizuddin Selamat
2) Siti Nor Syafiqah Ali Ahmad
3) Nur Syuhada Ahmad Sofiuddin
4) Nurul Fadhilah Kamarulzaman
5) Nuraini Nadhirah Mohd Jamil
Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)