KUALA LUMPUR – Gandingan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan melakukan persiapan rapi, bagi mengelakkan kekecewaan menentang Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, esok.
Aaron-Wooi Yik, juara Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, berkata, mereka akan mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan bagi menentukan strategi yang akan digunakan ketika berdepan beregu di ranking keenam dunia tersebut.
Sebelum ini, mereka pernah tewas sebanyak dua kali bersama pasangan berkenaan di pusingan separuh akhir Terbuka Indonesia Jun lepas dan peringkat kumpulan jelajah dunia akhir di Bangkok, Thailand pada Disember lalu.
“Selepas berakhir perlawanan pusingan pertama ini, saya akan berbincang dengan jurulatih terutama mengenai strategi permainan pihak lawan. Kita tahu dekat sini (Axiata) angin sangat kuat, jadi siapa yang boleh mengawal perlawanan dengan baik, dia yang akan ada kelebihan,” katanya.
Pada aksi pusingan pertama tersebut, gandingan sensasi ranking ketiga dunia itu menundukkan lawan dari Taiwan, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan 16-21, 21-15, 21-16 dalam perhitungan yang berlangsung selama 56 minit.
Terdahulu, beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzudin Mohd Rumsani tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chan, 21-16, 11-21, 17-21.
Satu lagi pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut tewas kepada pilihan kedua kejohanan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, 18-21, 21-23. – BERNAMA