Lori yang membawa muatan kelapa sawit menujuk ke kilang untuk dijual buah tersebut di Felda Chini Timur, Pekan, Pahang. Foto arkib Malaysiagazette

KUALA LUMPUR – CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal kukuh dalam julat RM3,800 hingga RM4,500 satu tan pada awal suku pertama 2023 berikutan beberapa faktor.

Firma pembrokeran itu berkata, wujud kebimbangan mengenai risiko bekalan disebabkan kemarau yang berlanjutan di Argentina yang boleh menyebabkan kerugian kepada tanaman kacang soya, La Nina yang sedang berlaku serta potensi kewujudan El-Nino serta pengeluaran biji bunga matahari yang lebih rendah dari Ukraine akibat perang dengan Rusia yang berterusan.

“Kedua, permintaan biodiesel meningkat kerana Indonesia akan menaikkan mandat biodieselnya kepada B35 pada Feb 2023. Ia telah menaikkan peruntukan biodieselnya sebanyak 19 peratus kepada 13.15 juta kiloliter (kls) pada 2023 daripada 11.02 juta kls pada 2022.

“Indonesia juga telah mengurangkan nisbah obligasi pasaran domestiknya kepada enam kali daripada keperluan jualan domestik daripada lapan kali, yang pada pandangan kami akan mengehadkan eksport minyak sawit Indonesia,” katanya dalam nota hari ini.

Sehubungan itu, ia meramalkan harga MSM akan merosot bermula suku kedua 2023 dan selanjutnya apabila output minyak sawit mencatat pemulihan susulan kemasukan lebih ramai pekerja asing manakala pertumbuhan global yang perlahan akan mengekang permintaan.

MIDF Research pula berkata, harga MSM dijangka memaparkan dagangan tidak menentu antara Januari dan Mac iaitu pada RM3,500 dan RM4,500 satu tan berikutan perbezaan harga antara MSM berbanding harga minyak kacang soya.

“Bagaimanapun, kami turut mengakui risiko penurunan permintaan yang tidak kukuh berikutan tekanan inflasi, ditambah pula dengan kekangan perbelanjaan isi rumah susulan kadar faedah asas yang tinggi sama ada di dalam negara mahupun antarabangsa,” katanya.

CGS-CIMB Securities dan MIDF Research menyatakan saranan neutral bagi sektor itu. – BERNAMA