Polis memulakan siasatan terhadap satu video tular memaparkan kamera tersembunyi dalam bilik persalinan sebuah pusat beli belah. - Gambar ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan berkenaan satu video tular memaparkan rakaman daripada kamera tersembunyi dalam bilik persalinan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah menerima laporan polis mengenai penularan video itu pukul 4.38 petang pada Isnin lepas.

“Laporan dibuat oleh seorang pengurus kawalan keselamatan sebuah premis di Jalan Imbi namun siasatan dan pemeriksaan mendapati kejadian itu bukan berlaku di sana.

“Siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Dellhan, kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Fikri Abdul Manan di talian 013-4149917, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette