Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga individu termasuk seorang pengawai penguatkuasa sebuah jabatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara dalam talian.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu dipercayai ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sibu, Sarawak petang tadi.

Katanya, suspek pertama yang juga seorang pegawai penguatkuasa berusia 30-an ditahan kira-kira jam 5.30 petang manakala suspek kedua dan ketiga yang juga orang awam ditahan kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, pegawai penguatkuasa itu disyaki meminta dan menerima wang suapan secara dalam talian daripada seorang awam yang dikatakan bertindak sebagai orang tengah menguruskan aktiviti ‘passport terbang’ di sekitar daerah Sibu.

”Pegawai itu dipercayai menerima wang suapan menerusi pindahan wang akaun bank milik adiknya,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu jam 9 pagi esok untuk permohonan reman. – MalaysiaGazette