KUALA LUMPUR – UMNO perlu memulihkan segera perpaduan dalam kalangan pimpinan dan akar umbi terlebih dahulu sebelum menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlaku pada tahun ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia bagi memastikan gerakan untuk mensabotaj parti tidak berulang seperti mana yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Presiden UMNO menyampaikan ucapannya untuk menuju kepada perpaduan parti bagi menentukan hala tuju parti di masa akan datang dan kita perlu menjalankan segera bagi menghadapi PRN di enam negeri nanti.
“Kita percaya bahawa demi masa depan parti ini, penyatuan itu perlu dan kita perlu mendapatkan fokus dalam parti kerana ada bekas (ahli) parti cuba sabotaj parti dalam pilihan raya akan datang dengan apa juga alasannya.
“Saya percaya insya-Allah dengan penyatuan dan politik baharu yang akan diperkenalkan barisan pimpinan parti, kita boleh mengukuhkan parti kembali untuk bersaing dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu Ahmad yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menghadiri Majlis Taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Dalam pada itu, Ahmad tidak menolak kemungkinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi enam PRN itu, sebagaimana yang berlaku di peringkat pusat.
“Itu memang (kerjasama BN-PH) akan dilakukan, bila berlaku di peringkat nasional, sudah tentu ada di peringkat negeri, tapi perinciannya akan diterangkan kemudian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette