WASHINGTON – Semua penerbangan domestik Amerika Syarikat telah digantung selama beberapa jam kerana masalah sistem kawalan penerbangan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, terdapat masalah dengan sistem yang memberi amaran kepada juruterbang tentang potensi bahaya di laluan-laluan penerbangan.

Usaha sedang dilakukan untuk memulihkannya tetapi FAA mengatakan tiada penerbangan akan berlepas sehingga sekurang-kurangnya 0900 ET (1400 GMT).

Dalam satu kenyataan, FAA memberitahu, beberapa fungsi mula kembali dalam talian dan akan memberi perkembangan terbaharu kemudian.

Setakat ini tidak jelas sama ada gangguan itu akan memberi kesan kepada penerbangan antarabangsa.

Presiden Joe Biden telah diberi taklimat mengenai gangguan itu, dan White House berkata, tiada bukti serangan siber “pada ketika ini”.

Namun Biden menggesa “siasatan penuh dilakukan untuk mencari punca”.

FAA berkata, masalah tersebut berpunca pada Sistem Notis kepada Misi Udaranya.

American Airlines berkata gangguan itu memberi kesan kepada “semua penerbangan termasuk syarikat penerbangan”.

United Airlines pula menangguhkan semua penerbangan domestiknya. – Agensi