Ramlee Mamat menunjukkan kaki anaknya yang disyaki mengidap penyakit kaki gajah di rumah mereka di sini.

KUANTAN – Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Begitulah kasihnya Ramlee Mamat, 59, kepada anak-anaknya yang diuji sakit hingga dia tidak betah berjauhan dengan mereka.

Ramlee yang bekerja sebagai tukang cuci di Cherating membuat keputusan berhenti kerja untuk menjaga anak bongsunya, Mohammad Arif Hakimi, 21, yang kurang upaya (OKU) yang kini mengidap penyakit kaki gajah.

Pada masa sama, isterinya, Murni Md Daud, 58, pula mengidap radang sendi pada kedua-dua belah kakinya hingga tidak mampu berjalan sejak tiga tahun lalu.

Ramlee Mamat (kiri) bersama anak-anak dan isterinya.

Anak kelimanya pula,  Nor Aliah Safiah, 23 tahun merupakan OKU pendengaran.

“Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menjaga isteri dan anak bongsu, memandangkan keadaan isteri yang tidak lagi mampu menguruskan anak bongsu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Palas, dekat Cherating, di sini, hari ini.

Menurut bapa ini, doktor mengesyaki anaknya menghidap penyakit kaki gajah tetapi ujian darahnya tidak  mengesan cacing (filaria) yang menjadi punca penyakit terbabit pada tahun 2016.

“Tetapi setiap kali dia demam, kaki kirinya akan menjadi merah dan membesar malah penyakit itu juga telah merebak pada kedua-dua matanya sehingga penglihatannya terjejas,” katanya.

Keadaan itu menyukarkan anaknya menyebabkan dia sering meronta-ronta sehingga dia tahu apakah punca mengapa anaknya berkelakuan begitu.

”Arif ini ibarat bayi, kami tidak tahu sama ada dia meronta kerana kesakitan atau sebaliknya memandangkan dia tidak boleh bertutur dengan normal,” katanya sambil menambah urusan menjaga isteri dan Arif juga dibantu oleh anak-anak yang lain.

Disebabkan keadaan Murni yang uzur, Ramlee  menggalas tanggungjawab menguruskan rutin harian Arif termasuk menyuapnya makan, mandi serta memakai lampin kerana anaknya itu tidak mampu mengurus dirinya sendiri.

Ramlee mengakui dia sentiasa bimbang memikirkan nasib Arif jika dia tiada lagi kerana kos penjagaannya dianggarkan RM500 sebulan.

Mengenangkan nasib mereka, Ramlee berkata, dia tidak tahu sejauh mana simpanannya mampu bertahan memandangkan dia kini tiada pendapatan dan hanya bergantung pada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang semakin susut.

”Saya kini bergantung sepenuhnya dengan baki wang KWSP, selain anak-anak juga membantu setakat yang mereka mampu,” katanya.

Ramlee berkata, isterinya pula memerlukan kira-kira RM20,000 untuk melakukan pembedahan kaki.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun CIMB penama Ramlee Mamat 7036390629. – MalaysiaGazette