GEORGETOWN – Sejarah tercipta dalam industri penyiaran radio negara apabila Suria FM muncul stesen radio pertama di Malaysia bersiaran secara langsung di atas kapal persiaran mewah, Genting Dream semalam.

Kejayaan itu diiktiraf mencatat sejarah dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) selepas penyampai segmen Morning Morning Suria iaitu Suraya, Ajak dan Shuib selepas bersiaran selama dua jam pukul 8 hingga 10 pagi ketika kapal mewah itu berlabuh di Terminal Swettenham Pier Cruise di sini.

Bagi Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, bersyukur dan teruja ketana menyambut tahun 2023 penuh bermakna dalam memastikan stesen radio itu mencipta kelainan bagi menarik di hati pendengar.

“Ia umpama mimpi dalam mimpi kerana apa yang dirancang berbulan lamanya akhirnya berjaya direalisasikan. Saya secara peribadi sebelum ini memang berhasrat untuk melakar sejarah dalam MBOR tidak kira dalam apa jua kategori sebaik menjawat jawatan sebagai Pengurus Besar sejak 2018.

“Justeru, sejarah tercipta dan berjaya dilaksanakan bersempena dengan sambutan ulang tahun Suria FM ke-15 November lalu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir ialah Perunding Kanan MBOR Siti Hajar Johor dan Lee Pooi Leng.

Sementara itu, segmen Morning Morning Suria yang mendapat kerjasama daripada Resorts World Cruises membawa tema Suria FM Membelah Samudera.

Ia turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi Suria FM seperti Facebook dan YouTube.

Tiga artis jemputan iaitu Siti Nordiana, Amir Masdi dan Andi Bernadee turut dibawa memeriahkan acara.

Lebih istimewa, Suria FM turut membawa lima pendengar bertuah yang memenangi peraduan Suria 15 Tahun yang dijalankan sepanjang November dan Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, DJ Lin memberitahu,, tahun 2022 merupakan tahun yang luar biasa buat Suria FM daripada segi pencapaian kedudukan serta hasil pendapatan Suria FM secara keseluruhannya.

“Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada pendengar setia, pihak penaja serta rakan media.

“Sempena kejayaan Suria FM kali ini, kami akan terus membuat kelainan pada masa akan datang berlayar dan bersiaran secara langsung dari atas kapal persiaran mewah iaitu Genting Dream,” katanya.

Tahun lalu, Suria FM diiktiraf sebagai stesen radio berbahasa Melayu paling popular yang berada di kedudukan Top 3 di Malaysia dengan jumlah pendengar 3.5 juta. – MalaysiaGazette