MELAKA – Padah membuang sisa komersial secara haram, sebuah syarikat pengubahsuaian rumah didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah melonggokkan sisa pepejal di lokasi tidak diwartakan tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Jun Kiat Trading yang diwakili pengarahnya Tan Choon Kiat, 55, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal komersial dalam kejadian di kawasan tanah di Mukim Batu Berendam kira-kira pukul 1.10 petang 16 Ogos 2022.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 71(8) akta sama.
Jika sabit kesalahan, syarikat tersebut boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan minimum enam bulan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan pembantu penguat kuasa di Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Cawangan Hang Tuah Jaya bersama-sama pasukan penguatkuasaan SWCorp Melaka telah membuat intipan dan pemantauan di kawasan tersebut pada jam 1.10 petang 16 Ogos tahun lalu.
Pasukan itu kemudian mendapati sebuah lori mencurigakan model Nissan dengan muatan penuh menuju ke lokasi di Jalan Bidadari berhampiran Taman Sutera Wangi dan telah melonggokkan sisa pepejal terkawal (sisa pepejal komersial).
Siasatan mendapati, perbuatan dilakukan seorang individu yang juga pemilik kepada sebuah syarikat perniagaan berkaitan kerja-kerja kayu seperti membaik pulih perabot dan kabinet dapur.
Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah mengenakan denda yang rendah dengan alasan syarikatnya tidak menerima banyak tempahan kerja-kerja pengubahsuaian.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Abd Hadi Abd Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira lokasi kejadian berhampiran kawasan perumahan.
Perbuatan itu, hujahnya, bukan sahaja menyebabkan pencemaran alam sekitar malah berisiko mengancam nyawa orang ramai jika berlarutan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan syarikat terbabit didenda RM15,000 dan OKS membayar denda dikenakan. – MalaysiaGazette