Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Seperti Presiden UMNO, timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang mahu jawatan tersebut.

“Siapa nak bertanding lawan Timbalan Presiden, saya (akan) mempertahankan, saya takda isu (mengenai pertandingan dengan sesiapa) termasuk jawatan presiden perlu terbuka jugalah,” katanya kepada media selepas merasmikan persidangan tiga sayap sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022), malam tadi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebelum ini juga mengatakan kesediaannya untuk dicabar dalam mempertahankan kerusi yang disandang beliau pada 2018 lalu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, adalah lebih baik untuk jawatan nombor satu parti itu tidak dipertanding tatkala UMNO kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), November lalu.

“Kalau boleh dalam keadaan kita sudah jatuh terduduk begini sebaiknya jawatan presiden itu eloklah menang tanpa bertanding.

“Kalau bertanding sedikit sebanyak dia ada perpecahan. Jadi kita tak tahulah, terpulanglah pada kita.

“Terpulang pada sendiri. Biarlah jawatankuasa itu yang melaporkan kepada pihak parti,” katanya lagi.

Awal hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 15 Mei depan, seiring dengan permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan di semua peringkat selama enam bulan selepas PRU15. – MalaysiaGazette