Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (dua kanan) beramah mesra dengan kakitangan Malaysia Gazette pada Majlis Perasmian Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO belum memutuskan sebarang tindakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Sabah yang menyokong Datuk Seri Hajiji Nor.

“Kita belum buat sebarang keputusan (mengenai sokongan lima ADUN Sabah terhadap Datuk Seri Hajiji Nor),” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas merasmikan Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai sokongan lima ADUN Sabah daripada UMNO Barisan Nasional (BN) yang bertindak menyokong kerajaan pimpinan Hajiji.

Dalam pada itu, Ahmad mengucap selamat menjalankan tugas buat barisan Kabinet yang diumumkan Hajiji hari ini.

“Saya ucapkan selamat berkhidmat kepasa mereka. Kita cerita kemudian sebab unik dan kita harap stabil kembali. Kita berikan komen kemudian,” katanya lagi.

Awal hari, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah digugurkan daripada Kabinet baharu Hajiji.

Bung Moktar mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah I pada 9 september 2020 dan memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Keramat (UMNO), Datuk Ir. Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya.

Sebelum ini, lima ADUN UMNO yang enggan menyokong langkah UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri sedia dikenakan tindakan termasuk dipecat daripada parti itu.

ADUN terbabit ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut). – MalaysiaGazette