KOTA BHARU – Badan Perhubungan UMNO Kelantan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti.
Ketetapan itu dinyatakan Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebaik selesai mesyuarat perhubungan negeri itu hari ini.
“Dalam ketetapan itu, UMNO Kelantan menolak sekeras-kerasnya segala perbuatan khianat yang melemahkan struktur dan strategi parti bagi memenuhi kehendak agenda individu.
“UMNO Kelantan juga dalam rangka menyusun gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlaku bila-bila masa sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Jazlan, dalam mesyuarat itu juga UMNO Kelantan meminta pucuk pimpinan mengambil tindakan segera kepada mana-mana pihak yang mengkhianati parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu. – MalaysiaGazette