Pengguna yang mahu menyertai Program GET boleh membuat pemohonan di laman sesawang TNB atau di Kedai TNB.

KUALA LUMPUR – Program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang diperkenalkan pada tahun 2022 akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2023 dengan peningkatan tawaran kuota sehingga 6,600GWj dengan kadar tarif premium sedia ada sebanyak 3.7sen/kWj.

Program ini merupakan inisiatif strategik kerajaan dalam menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon.

Melalui program ini, pengguna yang mempunyai komitmen untuk mengurangkan pembebasan rumah gas kaca (GHG) boleh melanggan bekalan elektrik yang dijana dari sumber TBB.

Seramai 1,994 pengguna dari kategori domestik, komersial dan industri telah menyertai program GET pada tahun 2022.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, pelanggan program GET akan dibekalkan dengan bekalan elektrik yang dijana daripada loji janakuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi.

Mereka juga akan mendapat sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut adalah daripada sumber TBB melalui sijil Malaysia Renewable Energy Certificates atau mREC® yang berdaftar dengan badan pensijilan antarabangsa.

Susulan peningkatan kapasiti penjanaan TBB serta permintaan yang menggalakkan daripada pengguna elektrik, penawaran kuota GET bagi tahun 2023 ini adalah lebih tinggi berbanding kuota 4,500GWj pada tahun 2022.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, NRECC akan terus komited untuk menawarkan bekalan elektrik yang bersih daripada sumber TBB kepada pengguna elektrik khususnya syarikat komersial dan pihak industri yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon mereka dalam memastikan kelestarian alam sekitar.

“Program GET menyediakan pilihan kepada entiti perniagaan, pelabur dan organisasi yang beroperasi di Malaysia dalam memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui penggunaan elektrik daripada sumber TBB,” ujarnya.

Kerajaan turut mengekalkan ciri-ciri utama program GET termasuk pemberian insentif pengecualian caj mekanisme pelepasan kos tidak Seimbang (ICPT) untuk tempoh enam bulan, bermula dari Januari hingga Jun 2023.

Pada masa yang sama, semakan semula insentif ini bagi tempoh Julai hingga Disember 2023 sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga supaya lebih jelas dan saksama serta mengambil kira aspek jaminan daya harap dan kemampanan sistem bekalan elektrik secara holistik.

NRECC berkata, pengguna yang ingin memperbaharui atau melanggan program GET boleh membuat pemohonan di laman sesawang TNB ataupun menghubungi kedai-kedai tenaga TNB yang berhampiran mulai hari ini. – MalaysiaGazette