KUALA LUMPUR – Pemimpin Kerajaan Pas Terengganu ditempelak kerana tidak menunjukkan hormat atas kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri itu apabila tiada seorang dalam kalangan mereka menyambut kedatangan beliau,
”Baik semasa ketibaan sampai atau pun keberangkatan pulang Perdana Menteri Anwar sempena lawatan ke Terengganu, tiada seorang pun dalam kalangan pemimpin negeri, baik Menteri Besar atau seorang Exco ataupun seorang wakil rakyat Pas tidak kelihatan di lapangan terbang,” dakwa Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah dalam satu kenyataan di sini.
Sedangkan, katanya, Anwar adalah Perdana Menteri untuk semua dan ia dibuktikan semasa banjir baru-baru ini beliau memperuntukkan RM100 juta kepada Terengganu dan Kelantan, kedua duanya adalah negeri di Kerajaan Pas.
Katanya, Anwar dengan cepat mengumumkan pemberian tersebut sebaik sahaja dua negeri tersebut dilanda musibah banjir walaupun pemimpin pemimpin dari parti politik yang menerajui negeri berkenaan sering menyerang beliau.
”Walaupun Anwar berjiwa besar pihak parti pembangkang sedikit pun tidak menunjuk sikap mengenang budi atau sekurang kurangnya meraikan tetamu yang berkunjung ke Negeri Terengganu Darul Iman hari ini.
“Kerajaan Melayu Islam jenis apakah yang wujud di Terengganu Darul Iman? Inikah budaya dan adat yang patut dicontohi dan dibanggakan oleh rakyat dan generasi muda kita?
Soalnya, bukankankah ada pepatah Melayu yang berbunyi “orang berbudi kita berbahasa”? Bukankah Islam mengajak penganutnya untuk meraikan tetamu yang berkunjung, dengan dilayan dengan baik dan menunjuk pekerti yang indah,” soal beliau.
Jelas beliau, tindak-tanduk kepimpinan Kerajaan Pas Terengganu itu menyebabkan rakyat yang malu terhadap tetamu.
Dalam lawatan itu, Anwar turut menghadap Sultan Terengganu dan juga bertemu pegawai-pegawai kerajaan Universiti Malaysia Terengganu. – MalaysiaGazette