KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya UMNO melakukan rejuvenasi dengan percambahan idea dan pemikiran kritis dalam kalangan ahli terutamanya dalam perihal untuk berkhidmat kepada rakyat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, proses itu sudah bermula dengan penyertaan parti Melayu itu dalam Kerajaan Perpaduan.
“Akar umbi sewajarnya memberikan ruang kepada UMNO untuk terus berkembang sebagai sebuah organisasi ulung yang memperjuangkan nasib setiap rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera.
“Perancangan yang bakal dibuat bagi meningkatkan keupayaan UMNO untuk menarik lebih banyak sokongan rakyat perlu dilakukan dengan ikhlas dan bukannya berteraskan mencari populariti semata-mata.
“Perjuangan kita haruslah direalisasikan dengan tindakan dan bukannya hanya dengan kata-kata semata-mata,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau mengulas ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis perasmian tiga sayap semalam antara lain mengatakan keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan bukan sahaja sangat penting untuk UMNO bahkan untuk masa depan Malaysia.
Menurut Mohamad, langkah itu adalah strategik kepada masa depan UMNO kerana ia memberikan parti Melayu itu suara dalam kerajaan baharu.
Mohd Dendera juga berkata, UMNO tidak boleh meneruskan naratif atau retorik lapuk yang sudah muak didengari oleh rakyat.
“UMNO harus melaksanakan reformasi secara total bukan sahaja dari sudut pentadbiran tetapi juga dari cara pemikiran pemimpin dan setiap ahli UMNO,” katanya.
Tambahnya, UMNO perlu melakukan proses tarbiah bagi ahli lama dan ahli baharu secara lebih komprehensif bagi memastikan daya pemikiran dan semangat ahli UMNO dapat diasah.
“Ia bagi melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berkualiti untuk memimpin parti ini di masa akan datang.
“Perkara ini juga penting bagi UMNO untuk kembali meniti jalan sederhana sepertimana yang telah digariskan oleh Datuk Onn Jaafar semasa penubuhan parti keramat ini pada 1946,” katanya.
Katanya lagi, sayap UMNO yakin sekiranya setiap pemimpin dan ahli dapat bersatu hati, parti itu akan kembali menjadi pilihan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan status ekonomi.
“Semoga persidangan kali ini menjadi titik tolak kepada pembaharuan UMNO dalam usaha berterusan demi memperjuangkan pembangunan agama, bangsa dan negara yang kita cintai ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette