KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi UMNO hari ini diminta mencari punca kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi menyelamatkan parti ini daripada terus gagal dan dimalukan.
Exco Pergerakan Puteri, Ummi Kalsom Abu Muthalib berkata, meskipun UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah mengejut, namun, jangan sesekali menjadikan ia satu halangan kepada parti untuk terus berdiri dan kembali kukuh.
Sebaliknya, UMNO dan BN perlu mengambil iktibar di atas kekalahan itu dan segera melakukan bedah siasat bagi mencari punca mengapa ia berlaku.
”UMNO/ BN perlu mengambil iktibar serta digesa turut melakukan ‘post-mortem’ bagi mencari punca kenapa parti keramat ini kalah teruk pada PRU lalu,” katanya pada sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Tegasnya, UMNO perlu bermuhasabah diri dan mengambil pengajaran berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU), malah parti ini harus diberikan nafas baharu kerana cabaran politik masa kini cukup jauh berbeza terutamanya pengundi muda.
Penyokong usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO itu berkata, UMNO perlu melakukan rejuvenasi yang baharu kerana demografi dan politik pada masa ini berbeza dengan pengundi seawal umur 18 tahun yang terlibat.
“UMNO perlu mengikut peredaran zaman dan tidak perlu lagi bersandarkan pada kegemilangan, sejarah, budi dan jasa UMNO tetapi harus melihat ke depan khususnya untuk anak-anak muda.
“Saya percaya kepimpinan UMNO/BN pasti akan menyentuh dan mencipta lebih banyak ikon pada masa hadapan.
“UMNO perlu menguasai media sosial kerana anak muda hanya mengenali parti politik melalui jaringan tersebut. Pada PRU sebelum ini sebenarnya kita masih gagal menguasai media sosial dan kalau kita tidak menggunakan sebaik-baiknya media sosial ini pasti kita akan ketinggalan pada PRU16 dan seterusnya,” tambahnya.
Katanya lagi, UMNO perlu mengakui bahawa media sosial adalah medium komunikasi yang sangat penting pada masa ini. – MalaysiaGazette