Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan UMNO yang lain hadir pada Taklimat Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memperincikan sebab Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan pada ucapan dasarnya sempena Persidangan Agung UMNO 2022 esok.

Beliau tidak berbuat demikian semasa sesi Taklimat Presiden UMNO semalam.

“Saya tidak berhasrat untuk memperincikan sebab dan apakah pertimbangan yang kita ambil untuk menyertai kerajaan kerana saya akan menyentuh perkara ini dalam ucapan dasar untuk pengetahuan umum,” kata Ahmad Zahid berdasarkan kepada salinan ucapan beliau yang diberikan kepada MalaysiaGazette lewat malam tadi.

Semasa taklimat semalam, Ahmad Zahid hanya memaklumkan mengenai proses dan kronologi sehingga UMNO-BN mengambil pendirian untuk menyokong kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Biarlah saya berterus terang tentang proses dan kronologi yang berlaku, agar segala salah faham, kekeliruan mahu pun tohmahan akan dapat dirungkai serta terjawab,” kata Ahmad Zahid.

Untuk rekod, UMNO-BN pada malam 24 November bertindak menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia sekaligus menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai 73 kerusi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau bukan berniat untuk mencari salah sesiapa malah hanya ingin memperincuikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh UMNO-BN selepas mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) November tahun lalu.

“Kini Kerajaan Perpaduan telah pun dibentuk. Aturan pembentukannya bukan hanya melibatkan perundingan parti politik tetapi kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-Raja Melayu,” jelasnya lagi.

Tumpuan esok akan terarah kepada Ucapan Dasar Presiden yang akan menjadi tunjang kepada PAU2022 esok.

Malah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam berkata, berbeza dengan perhimpunan agung sebelum ini kerana hanya satu usul sahaja akan dibahaskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast