KUALA LUMPUR – Sebanyak 100 daripada 1,296 buah menara telekomunikasi di negeri Kelantan mengalami kerosakan akibat banjir pada tahun 2022.
Bagaimanapun, semuanya telah diperbaiki dan berfungsi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut membuat penambaikan pengerasan sebanyak 127 buah menara.
”Hari ini saya melawat menara telekomunikasi di Bendang Pak Yong Tumpat. SKMM telah menambahbaik menara ini menggunakan konsep Multi Operator Core Network (MOCN), di samping itu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah meninggikan tapak sembilan buah sub stesen yang berdekatan bagi memastikan punca bekalan elektrik tidak terjejas akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, kementerian ini turut mengambil peluang untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir.
Sumbangan bantuan berupa barangan keperluan asas seperti tilam, kelengkapan penjagaan diri, lampin pakai buang, ubat-ubatan serta makanan sedia untuk dimakan telah disampaikan kepada 450 penerima yang melibatkan penduduk sekitar Tumpat, Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kuala Krai serta pengamal media dan warga kementerian.
Fahmi berkata, kementerian ini akan terus memastikan kebajikan rakyat dibela tanpa diskriminasi termasuk di negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang.
Jelas beliau, selain menyantuni dan memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi, pendekatan rahmah ini diyakini mampu mengekalkan keharmonian dan perpaduan. – MalaysiaGazette