Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat manakala di Perak kekal setakat pagi ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu bertambah kepada 71 orang berbanding 43 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa daripada 23 keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Kemat.

Penduduk berkenaan dipindahkan susulan kediaman mereka dinaiki air secara mengejut sejak 6 petang semalam.

Kenyataan turut menyatakan pada masa ini cuaca mendung dan hujan sedang melanda beberapa tempat di Terengganu.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom, Kampar kekal 91 orang setakat 8 pagi ini.

Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan PPS itu menempatkan kesemua mangsa dari Kampung Sahom.

PPS berkenaan dibuka sejak Rabu malam selepas kampung itu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada sebelah petang hari berkenaan.

Banjir kilat menyebabkan beberapa rumah di kampung berkenaan terjejas selepas paras air Sungai Rias di daerah itu naik mendadak. – Bernama