KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui agensinya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mengumumkan tiga inisiatif pengurangan kompaun bagi membantu meringankan beban kewangan komuniti korporat.

Inisiatif pertama melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal ke atas syarikat yang berstatus dissolved di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016.

Menurut SSM, pelaksanaan inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban kewangan pengarah dan syarikat yang telah tutup.

“Bagi insiaitif kedua, SSM memperkenalkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 2016 berkuatkuasa serta merta.

“Pengurangan kompaun akan diberikan kepada syarikat selepas pematuhan terhadap kegagalan atau kesalahan diambil tindakan oleh pihak syarikat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Inisiatif tersebut yang berkuatkuasa serta merta itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Majlis Perhimpunan Awal Tahun 2023
KPDN di Putrajaya.

Menurut SSM, pengurangan kompaun hanya diberikan bagi kesalahan lazim di bawah Seksyen 68(1), Seksyen 248(1), Seksyen 258(1), Seksyen 259(1), Seksyen 340(1), Seksyen 30(1) dan Seksyen 30(2) Akta Syarikat 2016.

Tambahnya, pelaksanaan inisiatif baharu ini diharap dapat membantu komuniti korporat untuk meneruskan perniagaan di dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

Bagi inisiatif ketiga, katanyam SSM akan meneruskan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan data yang disimpan berhubung entiti syarikat di dalam pendaftaran SSM adalah terkini dan juga bagi mendorong syarikat mematuhi amalan tadbir urus terbaik khususnya serah simpan Penyata Kewangan serta maklumat terkini di SSM.

“Di samping itu, ia juga meringankan beban kewangan syarikat-syarikat ke arah pemulihan ekonomi negara dalam fasa peralihan ke endemik,” ujarnya. – MalaysiaGazette