Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perhimpinan Agung UMNO yang berlangsung hari ini menyaksikan terdapat satu usul agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil berkata, usul yang dibawa oleh Perwakilan Negeri Sembilan tersebut merupakan usul tambahan berbanding hanya tujuh usul yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita tidak pinda perlembagaan supaya jawatan ini tidak dipertandingkan tetapi pada masa sama kita tidak halang mana-mana perwakilan yang mahu bawa usul.

“Tadi ada usul yang dibawa oleh perwakilan Negeri Sembilan dan telah disokong oleh perwakilan dari Terengganu, Selangor, Wanita dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media

Isham berkata, masih ada perwakilan yang akan berbahas esok dan mereka terbuka untuk membawa apa-apa usul.

Jelasnya, sama ada usul tersebut diterima atau sebaliknya akan diputuskan oleh perwakilan esok.

“Kalau esok selepas semua wakil-wakil daripada negeri telah mencapai persetujuan. Maka itulah persetujuannya.

“Biar perwakilan bahas dulu. Kita ada banyak lagi negeri-negeri untuk kita dengar esok.

“Itu bukan satu-satunya usul ada usul lain yang dibawa,” kata Isham.

Sementara itu, Isham turut menjelaskan tindakan UMNO menyekat media daripada mendengar perbahasan perwakilan secara langsung.

Katanya, tindakan itu dibuat agar perwakilan boleh berbahas secara bebas dan tanpa sekatan.

“Kalau kita buat secara terbuka, nanti kita sekat-sekat perwakilan bincang secara terus- terang.

“Dalam dewan tadi, ada perwakilan kata mahu berbincang secara telus. Kalau perbahas ini dibuka dan terus kepada umum maka bukan sahaja media tahu parti-parti politik lain juga tahu juga,” katanya.

Isham berkata, sekatan perbahasan secara tertutup itu hanya berlangsung pada perhimpunan kali ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast