KUALA LUMPUR- Sebuah kereta yang diletakkan di tepi Jalan Ampang, di sini, rosak apabila sekeping besi perancah jatuh dari tingkat 56 sebuah bangunan yang dalam pembinaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dalam insiden jam 8.45 pagi itu, pemilik kenderaan tersebut terselamat kerana sedang berurusan di dalam sebuah kedai serbaneka 24 jam yang terletak berhampiran.

“Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati sekeping ‘staging’ (besi perancah) jatuh daripada tingkat 56 sebuah bangunan 80 tingkat yang sedang dalam pembinaan.

“Pemeriksaan polis mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan telah dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pagi tadi, beberapa rakaman video dan gambar berkaitan kejadian itu tular di laman media sosial..

Rakaman itu memaparkan bahagian bumbung serta cermin hadapan dan belakang kereta yang diparkir di tepi jalan terbabit rosak teruk akibat ditimpa besi perancah.

Tambah beliau, polis telah memulakan siasatan berhubung insiden tersebut. – MalaysiaGazette