KUALA LUMPUR – Polis menggempur satu unit kondomium mewah dengan kawalan keselamatan yang dijadikan stor penyimpanan dadah bernilai RM154,000.
Kegiatan sindiket itu ditumpaskan selepas seorang suspek warga tempatan dan asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut di ibu negara dicekup dalam Op Acacia pada 10 Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) melakukan dua serbuan berasingan bermula jam 6 petang hingga 11 malam.
“Dalam serbuan pertama di sebuah kondominium di Taman Desa berjaya menangkap seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing disyaki pasangan kekasih berusia 18 dan 43 tahun di salah sebuah unit yang disyaki disewa.
“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah dadah seberat 3.6 kilogram bernilai RM40,000,pPil erimin 5 sebanyak 5,020biji bernilai RM70,000 di dalam unit kondominium itu,” katanya dalam kenyataan kejayaan itu hari ini.
Pemeriksaan lanjut juga berjaya membawa kepada rampasan sebentuk cincin emas, wang tunai RM1,200 dan sebuah kereta jenis Mercedes Benz model C180 Executive SE disyaki digunakan untuk kegiatan mereka.
Susulan tangkapan suspek pertama dan kedua dalam serbuan itu, polis melakukan serbuan kedua di tempat letak kereta di Jalan Imbi, dekat sini.
Katanya,serbuan kedua berjaya membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun yang disyaki anggota sindiket sama.
Polis merampas syabu bernilai RM37,000 dan menyita sebuah kereta jenis Toyota Camry sekali gus menjadikan kesemua dadah dan harta dirampas berjumlah RM375,000 dalam operasi tersebut.
Katanya, ujian air kencing suspek pertama berusia 43 positif dadah dan mempunyai 23 rekod jenayah narkotik.
Manakala suspek ketiga mempunyai enam rekod kesalahan lampau dadah dan positif dalam ujian air kencing.
Azmi berkata, sindiket ini aktif sejak dua bulan lalu menjadikan kondominium sebagai tempat menyimpan dadah yang diperoleh daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
“Semua saspek tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.
“Mereka direman selama tujuh hari sehingga 17 Januari 2023 di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya. – MalaysiaGazette