Gambar hiasan

KUANTAN – Tiga individu bertopeng memecah masuk sebuah rumah dan menetak seorang lelaki di kaki dan tangan dengan sebelum melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Fortuner di Kemayan, Bera pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Kumaran Nyanasagaran berkata, pihaknya menemui mangsa yang berusia 56 tahun itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan di lengan dan kaki dipercayai akibat ditetak.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, suspek merupakan tiga orang lelaki bertopeng telah masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang dan mencederakannya kemudian melarikan kenderaan milik mangsa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, polis menemui kenderaan mangsa di dalam kebun getah, Felda Sungai Lui, Negeri Sembilan.

Menurut Kumaran, suspek dipercayai melarikan diri menaiki kenderaan Perodua Myvi berwarna perak menghala ke Bahau, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk menerima rawatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bera di talian 09-2507999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette