KUALA LUMPUR – Satu mayat dalam keadaan reput ditemui orang awam di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, Klang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pasukan forensik yang digerakkan ke lokasi setelah pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu kira-kira jam 6.10 petang mendapati mayat ditemui dalam guni putih.
“Pemeriksaan lanjut di dalam guni itu mendapati, keadaan mayat hanya memakai kain sarung warna biru tanpa baju,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan pada anggota badan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan mangsa dan identitinya juga masih belum dapat dipastikan oleh polis.
Menurut Vijaya Rao, mayat mangsa yang disyaki telah dibunuh itu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Polis telah memulakan siasatan kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukan hukuman mati,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan You Swee Leong di talian 012-4071452 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32912222 atau pergi ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette