ALOR GAJAH – Polis mengenal pasti 30 lokasi ‘panas’ kerap berlaku kemalangan di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Justeru pihaknya menggerakkan 6,559 pegawai dan anggota trafik bagi melancarkan aliran lalu lintas sekali gus mengurangkan kemalangan sempena Op Selamat bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ yang akan bermula 18 hingga 27 Jan ini.
“Selain itu, sebanyak 5,875 pegawai dan anggota polis peronda turut ditugaskan bagi rondaan cegah jenayah,” katanya pada Majlis Pelancaran Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas Ayer Keroh (Arah Selatan) di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi PLUS Malaysia Berhad Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim.
Razarudin berkata, cuti pegawai dan anggota trafik turut dibekukan sepanjang musim perayaan berkenaan dalam usaha agensi itu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kemalangan maut.
Beliau berkata, polis juga akan menumpukan terhadap enam kesalahan utama sering dilakukan pemandu iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
Sementara itu, Mohamad Nasir dalam ucapannya berkata PLUS menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada waktu puncak dalam tempoh berkenaan iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding hari biasa.
Beliau berkata, PLUS akan mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membantu mengagihkan trafik dan membantu pengguna merancang perjalanan di lebuh raya.
Katanya, penunggang motosikal menyumbang sebanyak 64 peratus daripada jumlah kemalangan maut di Lebuhraya PLUS pada 2022, justeru kolaborasi bersama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan amat penting bagi mengurangkan insiden tersebut. – BERNAMA