ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA- Sepasang kekasih ditahan polis selepas disyaki memperdaya seorang peniaga tempatan untuk melabur dalam pelaburan visa pelancong dan pekerja asing sehingga menyebabkan dia kerugian sebanyak RM300,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki tempatan dan wanita warga asing itu ditahan di Jalan Klang Lama pada Rabu lalu dalam satu serbuan di dua unit kondominium.

Mangsa yang berusia 33 tahun itu telah membuat laporan polis pada Julai tahun lalu.

“Siasatan polis mendapati mangsa seorang yang aktif berniaga dalam sektor pertanian itu mengenali suspek lelaki itu melalui ahli keluarganya.

“Mangsa kemudian terperdaya dengan tawaran suspek yang menawar dan menjamin pelaburan itu boleh mengaut keuntungan sehingga RM6,000 bagi setiap visa yang dilaburkan.

“Percaya dengan kata-kata suspek, mangsa telah menyerahkan wang RM300,000 untuk 50 permohonan visa pekerja asing kepada suspek dan satu pasport bagi permohonan visa pekerja,” katanya dalam kenyataan kejayaan hari ini.

Tambah beliau bertindak atas aduan mangsa dan maklumat risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Petaling Jaya telah melakukan serbuan di dua unit sebuah kondominium mewah di ibu negara.

“Siasatan lanjut polis terhadap mereka mendapati pasangan yang berusia 33 dan 43 tahun itu aktif melakukan jenayah penipuan demikian sejak April tahun lalu,” katanya.

Suspek lelaki kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Sabtu manakala kekasihnya yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) itu direman selama 14 hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu orang, selain wanita itu turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette