KUANTAN- Sebuah resort usang dan terbiar lama bernilai RM19 juta di Cherating, dekat ini kini ditransformasikan menjadi pusat tarbiyah pengajian pondok buat golongan warga emas.
Dahulunya dikenali Cherating Bay Resort, ia berubah wajah menjadi Pondok Warga Emas At-Tahwil.
Pondok ini didiami 12 orang penghuni termasuk ibu tunggal dan dua pasangan suami isteri.
Ramli Nordin, 73, berkata inisiatif menjadikan sebahagian resort yang mempunyai 164 unit apartment itu telah dijadikan pondok agama merupakan sinar hidayah dan jihadnya kembali ke jalan Allah.
“Saya bukan orang yang arif dalam agama, malah saya juga pernah lalai, tetapi saya ingin kembali ke jalan Allah, umur saya pun dah 73 tahun, bila lagi saya nak buat. Alhamdulillah, ini Allah bagi hidayah.
“Resort lama saya ini usia lebih 20 tahun dengan nilai pelaburan hampir RM19 juta, akhirnya ‘gulung tikar’ pada tahun 2018 disebabkan kegawatan ekonomi dan pertukaran polisi kerajaan pada masa itu.
“Sejak itu resort ini terbiar sehingga semak samun, jadi bila saya datang tengok tempat ini terbiar, saya rasa mahu buat sesuatu supaya tempat ini boleh digunakan. maka timbul lah idea untuk jadikan sebahagian resort ini sebagai pondok agama untuk warga emas selepas bincang dengan kawan-kawan dan keluarga,” katanya.
Menurutnya lagi, hasil sumbangan dan bantuan yang dihulur oleh pelbagai pihak sebelum ini dapat membina sebuah sebuah surau baharu bagi kegunaan penghuni malahan pengoperasian pusat itu dilakukan sejak bulan Oktober 2021.
Ramli berkongsi impian dengan harapan agar fungsi pondok tersebut dapat dibangunkan menjadi pusat dakwah dan penyebaran maklumat mengenai Islam terutama kepada pelancong asing dan masyarakat tempatan.
Bagaimanapun usaha itu terbantut kerana pihaknya tidak mempunyai cukup dana untuk menampung kos baik pulih unit apartment yang rosak dengan anggaran kos sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 seunit.
Sementara itu, Penyelaras Pondok At-Tahwil, Fatimah Awang Lah, 75, berkata, perancangan untuk menjadikan pondok ini sebagai perintis konsep pelancongan ibadah bertepatan berikutan lokasinya strategik sebagai salah satu pusat pelancongan popular di sini.
Antara cadangan pada masa akan datang ialah membaik pulih beberapa unit apartment bagi dijadikan homestay kepada pengunjung yang mahu datang bercuti sambil beribadah atau memudahkan urusan musafir kepada pelawat yang datang menziarah penghuni.
“Sebagai contoh mereka datang sebuah keluarga termasuk ibu dan ayah, jadi ibu dan ayah mereka boleh mengikuti pakej kursus agama yang kami sediakan sementara ahli keluarga lain boleh jalan-jalan di sekitar Cherating.
“Kami sudah membaik pulih 10 unit apartment untuk kegunaan pondok. Terdapat 26 unit lagi perlu diperbaiki namun usaha itu terbantut kerana tidak mempunyai dana mencukupi,” katanya.
Oang ramai yang ingin menyumbang dan memanjangkan pahala bagi membantu mengimarahkan pondok berkenaan boleh menghulurkan sumbangan ke nombor akaun Maybank 556093276707 atas penama Pertubuhan Amal At-Tahwil atau menghubungi talian 017-3713022 sebarang pertanyaan.
Pelbagai aktiviti harian yang dilakukan di pondok ini selain solat berjemaah setiap waktu, kuliah subuh setiap hari, kelas mengaji Al-Quran, bacaan hadis serta kuliah untuk tiga kali seminggu juga dilakukan di sini. – MalaysiaGazette