Shahrir Samad bersama penyokong selepas selesai membuat laporan polis ke atas Tommy Thomas di IPD Dang Wangi petang tadi.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Ab Samad hari ini membuat laporan polis bagi mendesak siasatan ke atas bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang didakwa menyalahgunakan kuasanya dalam kes perbicaraan beliau.

Veteran UMNO ini telah didakwa gagal mengisytiharkan pendapatan berjumlah RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bekas Pengerusi Felda yang telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pendakwaan penggubalan wang haram berjumlah RM1 juta itu mendakwa, Tommy  mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwanya pada Januari 2020 walaupun siasatan ke atasnya tidak lengkap sepenuhnya.

Beliau bersama peguamnya telah tampil ke IPD Dang Wangi jam 2.55 petang tadi sebelum memasuki premis polis itu untuk membuat laporan polis.

“Pada 14 dan 15 Disember 2022, pegawai penyiasat SPRM yang merupakan antara 23 orang saksi dalam perbicaraan kes saya memberitahu dan mengaku kepada mahkamah bahawa pertuduhan yang dibuat ke atas saya adalah berasaskan satu kertas siasatan yang belum lengkap sepenuhnya sebaliknya hanya dia menyiasat selepas Novermber 2013 setelah saya mendapat cek duit daripada Najib

“Beliau juga bersetuju tidak ada siasatan dijalankan atau isu ganti balik yang telah saya beritahu semasa percakapan dirakam oleh pihak SPRM dan walaupun saya menyatakan kepada SPRM sebanyak lapan kali bahawa ini duit ganti, mereka tak menyiasat sepenuhnya semua perbelanjaan saya sebelum daripada penerimaan cek itu yang ada kaitan dengan pemulihan rumah kos rendah Sri Anugerah Larkin.

“Pegawai itu juga berpendapat untuk menyiasat status RM1 juta itu dari sudut ganti balik namun tiada arahan dari pegawai atasan untuk berbuat demikian, selain bersetuju selepas pegawai atasan itu merujuk fail dokumen siasatan tidak lengkap itu kepada Tommy yang kemudian mengarahkan pendakwaan dibuat ke atas saya di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas ditemui hadapan IPD Dang Wangi petang tadi.

Shahrir tiba ke IPD Dang Wangi jam 2.55 petang tadi untuk membuat laporan polis ke atas Tommy.

Turut hadir para penyokong beliau dari UMNO Johor Bahru bagi menyatakan sokongan solidariti untuk beliau.

Dalam perkembangan sama, Shahrir tidak percaya Tommy seorang yang tidak memahami proses perundangan negara.

Katanya, Tommy merupakan seorang pengamal undang-undang yang bijak dan berpengalaman luas dan beliau sepatutnya berlaku adil dalam penyiasatan dan pendakwaan kes tersebut.

“Saya tak percaya Tommy seorang yang tak faham pasal undang-undang, dia seorang bijak dan berpengalaman, ikut buku dia dia kata dia telah meneliti semua dokumen siasatan sepenuhnya,

“Jadi, implikasinya apa yang saya lihat di sini adalah dia tahu penyiasatan itu sebenarnya tak lengkap dan dia tahu saya juga tak bersalah tetapi dia mengaku telah meneliti sepenuhnya segala dokumen siasatan itu dan mengarahkan pendakwaan ke atas saya di mahkamah.

“Ini bermakna, dia mempunyai niat yang tidak baik dalam bersetuju atau mengarahkan untuk saya didakwa di mahkamah dan ini boleh dikatakan mempunyai kaitan unsur mencampuri dan menggugat proses keadilan,” ujar Shahrir.

Tegas Shahrir lagi, perbuatan Tommy merupakan satu bentuk kesalahan jenayah yang boleh disiasat dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

Oleh demikian katanya, beliau tampil ke balai polis petang hari ini untuk meminta polis menyiasat perkara tersebut.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk memfailkan saman terhadap Tommy, Shahrir berkata, beliau akan meneliti keadaannya sebelum membuat keputusan berkaitan.

“Kita tengok keadaan dulu macam mana tetapi langkah pertama saya hari ini adalah minta polis siasat Tommy salah guna kuasa.

“Saya mempunyai pasukan peguam yang komited secara sukarela menawarkan diri membela saya dalam kes ini dan saya akan bincang dengan mereka sama ada mahu saman atau sebagainya selepas ini,” ujar beliau. -MalaysiaGazette