Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meminta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik semula penggantungan keahliannya selama enam tahun dengan segera.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Tajuddin berkata, penarikan hukuman berkenaan demi mengembalikan semula perpaduan dan keutuhan UMNO Bahagian Pasir Salak.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berkata, pertuduhan terhadapnya juga tidak disebutkan dengan jelas dan tanpa sebarang bukti.

“MKT telah membuat keputusan berdasarkan tohmahan dan fitnah orang tertentu yang hendak menjatuhkan kerjaya politik saya.

“Saya juga tidak diberi peluang untuk membela diri atas pertuduhan atau kesalahan (sekiranya ada) terhadap saya,” katanya menerusi sepucuk surat yang turut disampaikan kepada pucuk pimpinan parti.

Tajuddin mendakwa, beberapa ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak telah berpakat dengan pegawai di Ibu Pejabat parti untuk menafikan hak beliau menjadi calon kerusi Parlimen Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dakwanya, kali ini mereka cuba menjatuhkan beliau sebagai ketua UMNO bahagian dengan menuduhnya mensabotaj ketiga-tiga calon bertanding di Parlimen Pasir Salak yang disifatkan berniat jahat dan tidak benar sama sekali.

“Saya terima dengan hati terbuka keputusan untuk tidak menamakan sebagai calon PRU15 yang lalu. Saya berkempen tanpa henti selain menghulurkan bantuan kepada jentera melebihi RM1 juta demi memastikan Parlimen itu kekal milik BN/UMNO.

“Dengan itu, saya mohon MKT supaya memberikan keadilan kepada saya serta menarik balik keputusan penggantungan dengan segera bagi tujuan mengembalikan perpaduan dan keutuhan UMNO Pasir Salak,” ujarnya.

Keahlian Tajuddin digantung selama enam tahun pada Oktober tahun lepas namun, beliau memperlekehkan keputusan itu dengan mendakwa ia bukan hukuman mati.

Keputusan itu dibuat selepas beliau dilihat secara terbuka mengkritik UMNO berikutan penyingkirannya sebagai ahli MKT pada Jun 2022.

Pada 5 Januari lalu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mengesahkan rayuan Tajuddin berhubung tindakan penggantungan keahliannya sebelum ini ditolak MKT.

Isham berkata, permohonan Tajuddin itu bersandarkan kepada keputusan Lembaga Disiplin parti sebelum ini. – MalaysiaGazette