Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.-Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad tidak menafikan wujud Akaun Bersumpah (SD) bagi menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, beliau berkata dirinya tidak tahu menahu mengenai SD berkenaan biarpun media telah melaporkan perkara itu sebelum ini.

“Ada nama saya? (beliau bingung), saya tak perasan pula ada nama saya, tak pernah tengok berita.

“Saya tak tahu,” katanya kepada media selepas selesai mendengar Ucapan Dasar Presiden UMNO, sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022), di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Selepas didesak dengan persoalan sama ada beliau merupakan salah seorang daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyokong SD berkenaan, Abdul Rahman tidak menafikan persoalan tersebut.

“Saya tak nafi, tapi saya tak tahu,” katanya lagi.

Rabu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut bahawa terdapat 10 Ahli Parlimen BN yang bertindak menandatangani SD bagi menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menyebut nama mana-mana Ahli Parlimen berkenaan namun beliau ada menyebut kawasan masing-masing.

Untuk rekod, kesemua 10 Ahli-ahli Parlimen itu telah menarik balik surat sokongan dengan membuat surat akuan menarik balik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast