KUALA LUMPUR – Anak Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa terharu kerana Presiden UMNO mengakui ayahnya sahaja mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu.
Beliau yang mesra disapa Yana berkata, keupayaan Najib memenangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sangat menyerlah dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) khususnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.
“Saya rasa perkara ini sangat nyata semasa PRN Melaka dan PRN Johor, aura Bossku (Najib) memang dirasai akar umbi bersama rakyat, kita nampak ada faktor penentu malah ada kebanjiran orang ramai pula.
“Masa PRU15 ini, peringkat akar umbi pun tak semeriah sebelum ini, Datuk Najib sekarang dia nak satu sahaja, nak kembalikan semangat dalam UMNO dan rakyat
“Beliau tahu dirinya tak bersalah dan semangat perjuangan beliau masih kekal dan kuat walaupun sekarang ini berada di penjara,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid dalam ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) mengakui faktor Bossku menjadi antara penyumbang utama kepada kembalinya sokongan rakyat kepada UMNO-BN.
Zahid berkata, apabila fenomena Bossku melanda negara, segelintir orang UMNO terus mempertikaikan peranannya, apatah lagi isu mahkamah yang dihadapinya kerap dimainkan meskipun umum percaya ia adalah pendakwaan politik dan terpilih.
Dalam pada itu, Nooryana Najwa tidak akan berputus asa memberikan ruang dan keadilan yang secukupnya kepada bapanya melalui semakan kehakiman yang akan dilakukan pada 19 Januari ini.
“Kita dapat lihat pelbagai usaha dilakukan selama ini untuk menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah, semuanya ini ditolak selama ini, nak kemukakan bukti baharu, nak tunjukkan ada konflik kepentingan, masa penangguhan yang munasabah, semuanya ini ditolak.
“Sekarang kita kena bersedia untuk semakan kehakiman yang akan bermula pada 19 Januari ini.
“Saya berbesar hati kerana Presiden UMNO sendiri memberitahu dalam ucapannay bahawa apa pun yang berlaku, Datuk Seri Najib perlu mendapatkan proses perbicaraan yang adil,” katanya lagi . – MalaysiaGazette