KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil mengesahkan bahawa parti itu masih belum mengadakan perbincangan mengenai tarikh pemilihan.
Beliau bagaimanapun berkata, UMNO perlu mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei ini.
“Kita belum bincang atau putuskan bila tarikh pemilihan. Tapi kita perlu membuat pemilihan sebelum 19 Mei 2023 iaitu enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15,” kata Isham.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Isham sekali lagi mencabar pemimpin yang mahu bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden.
Isham berkata, adalah tidak adil kepada penyandang jawatan tersebut sekiranya pihak berkenaan terus membuat gerakan secara bersembunyi.
“Kalau dia main sorok-sorok berkempen, gerakan-gerakan dalam gelap tidak adil kepada penyandang. Mereka tidak tahu siapa yang akan mereka lawan.
“Kalau mereka nak bincang soal dasar, mereka boleh umum terus dan berkempen daripada membuat gerakan halus mengkritik presiden dan timbalan presiden. Lepas itu dia umum nak bertanding.
“Bagi saya itu tidak elok untuk proses demokrasi,” kata Isham.
Semalam Isham berkata, jawatan presiden dan timbalan presiden adalah terbuka untuk dipertandingkan dengan individu yang berhasrat bertanding dua jawatan penting itu perlu mengumumkannya lebih awal.
Menurutnya, UMNO bersifat terbuka meskipun ada usul supaya dua jawatan penting itu tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung Umno yang dijangka Mei nanti.
”Secara peribadi saya terbuka untuk jawatan berkenaan dipertandingkan. Ada beberapa pihak kata kita tak bagi bertanding, itu tidak betul. Ia bagi menimbulkan rasa marah dan tak puas hati.
“Ramai pihak menyatakan supaya jawatan itu tidak dipertandingkan dan tiada mencabar. Sayap-sayap parti memberi usul mencadangkan begini (tidak dipertandingkan) bagi mengelak huru-hara di masa kritikal ini.
“Sekiranya ada yang mahu masuk (bertanding) terpulang kepada mereka. Tapi umum awal-awal jangan berselindung di sebalik gerak konco-konco.
“Kita cuma ada tiga hingga empat bulan lagi, siapa nak bertanding umum sekarang,” katanya.-MalaysiaGazette